Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Februari. - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, adalah dengan ini memaklumkan bahawasanya:
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan amat sukacita telah mengurniakan nama kepada cucunda baginda, iaitu anakanda kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, dengan nama:
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Dalam kesempatan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda seterusnya dengan sukacita mengurniakan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat semasa meluaran tersebut dan juga kepada semua yang menyembahkan perutusan tahniah dan ucap selamat berikutan dengan meluaran cucunda baginda itu pada hari Ahad, 20 Syaaban 1447 bersamaan 8 Februari 2026, jam 8.50 pagi.